多言語ブローシャー マレーシア語 / Malaysia

Bahasa Malaysia

Universiti Bahasa Asing Tokyo

Pengajaran bahasa Melayu di TUFS telah bermula sejak tahun 1908 lagi. Selepas Perang Dunia Kedua, Jurusan Bahasa Melayu ini telah diubah menjadi Jurusan Bahasa Indonesia, manakala pada tahun 1984 pula Jurusan Bahasa Malaysia telah dipisahkan dari Jurusan Bahasa Indonesia ini. Pada masa kini, terdapat lebih daripada 40 orang pelajar yang mengikuti kursus bahasa Melayu dan pengajian Malaysia di Fakulti Bahasa dan Budaya serta Fakulti Pengajian Antarabangsa dan Wilayah.
TUFS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2012. Bermula dari tahun itu, kedua-dua universiti ini telah menjalankan program pertukaran pelajar antara universiti. Terdapat juga pelajar-pelajar TUFS yang belajar di universiti-universiti lain di Malaysia seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Graduan TUFS yang telah mengikuti kursus bahasa dan pengajian Malaysia, kini, terus memainkan peranan penting dalam bidang pemiagaan, pentadbiran, akademik, kebudayaan dan sebagainya. Ramai di antara mereka yang telah memberi sumbangan dalam usaha mengeratkan dan meningkatkan hubungan antara J epun dengan Malaysia khasnya dan negara-negara Asia amnya.


Keistimewaan TUFS

1. Ia adalah sebuah pusat dunia bagi pengajaran dan pengajian bahasa

Anggaran sebanyak 50 buah bahasa diajarkan sebagai sebahagian daripada kurikulum biasa, dan banyak lagi yang telah dijadikan bahan kajian di TUFS. Bahasa Asia merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhannya; beberapa daripadanya hanya diajarkan di TUFS sahaja.

2. Ia adalah sebuah pusat dunia bagi pelbagai kajian rentas-disiplin mengenai budaya setempat

Aktiviti pendidikan dan kajiannya yang meliputi hampir seluruh rantau di dunia telah dijalankan oleh para pakar dalam pelbagai bidang akademik sains kemanusiaan dan kemasyarakatan.

3. Ia adalah sebuah pusat dunia bagi pendidikan bahasa Jepun

Sebagai sebuah pusat dunia bagi pengajaran bahasa Jepun, kajian pedagogi bahasa Jepun, dan tempat pemupukan guru-guru bahasa Jepun, TUFS berfungsi sebagai sebuah badan penasihat kepada institusi-institusi pendidikan bahasa Jepun di dalam dan luar negara.


Latar Belakang Sejarah

Universiti ini adalah institusi yang tertua di Jepun yang menumpukan kepada kajian-kajian antarabangsa. Ia mulanya dikenali sebagai Bansho Shirabesho (lnstitusi bagi Kajian Dokumendokumen Asing), sebuah biro penterjemahan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1856. Ia telah ditubuhkan sebagai sebuah institusi kajian dan pendidikan bebas dengan nama Tokyo Gaikokugo Gakko (Sekolah Bahasa Asing Tokyo) pada tahun 1899. Pada tahun 1999, Universiti ini telah menyambut ulang tahunnya yang ke-100 sejak berdiri sebagai sebuah institusi bebas.
Kampus universiti ini terletak di bandar Fuchu, sebuah kawasan di barat Tokyo. Pelajar-pelajar prasiswazah di TUFS mempelajari bahasa, budaya dan masyarakat di dunia di Fakulti Bahasa dan Budaya dan juga di Fakulti Pengajian Antarabangsa dan Wilayah, manakala pelajar-pelajar siswazah pula mempelajarinya di Pusat Pengajian Siswazah Kajian Global. Selain dari fakulti dan pusat pengajian tersebut, TUFS juga mempunyai Institut Kajian Bahasa dan Budaya Asia dan Afrika, dan juga Pusat Bahasa J epun bagi pelajar-pelajar antarabangsa.


PAGE TOP